Friday 2 March 2012

Mana Mak..

Pada hari itu, aku pulang ke kampung halaman di Kampung Binjai Berambu, Kuala Terengganu. Setelah enam bulan berada di tempat orang menjadi pengemis ilmu, kali ini kepulanganku pasti dinanti oleh keluarga dan saudara-mara. Perjalanan yang jauh terasa lambat kerana hati melonjak riang dan tidak sabar ingin bertemu dengan Mak, Ayah dan adik-adik. Rindu menyelubungi segenap ruang dalam hati.

Sampai di rumah aku memberi salam. Ayahku berada tercegat di muka pintu menjawab kewajipan itu. Dia menghulurkan tangannya. Aku menciumnya lalu memeluk erat batang tubuhnya. Aku bertanya di mana Mak dan adik adik. Ayahku menunjukkan muka seperti tidak mahu menjawab. Aku masuk ke rumah dan memangggil Mak. 

Aku ke biliknya cuba melihat sama ada Mak ada di situ. Tiada. Kemudian ke dapur meneka Mak sedang 'menangis' kerana mengupas bawang. Namun tiada juga. Adik adikku sedang duduk di biliknya seperti tiada apa mahu bermain. Aku merapati mereka dan mencium. Aku bertanya di mana Mak. "Mak hilang", adiikku memberitahuku.

"Hilang!!!

Aku hairan. Aku tertanya-tanya kemana Mak hilang. Aku cuba mencari. Tiba-tiba bayangan Mak muncul satu persatu. Aku teringat hari-hari yang aku lalui bersamanya. Segala kenangan mula terpasang seperti sebuah filem. Aku masih ingat ketika aku bangkit dari tidur, Mak telah menyiapkan sarapan untukku. Aku hanya ke dapur dan makan. Kalau dia tidak sihat dia akan belikan nasi untukku. Biasanya nasi lemak. 


Waktu tengahari, aku selalu melihat Mak berehat  di ruang tamu dengan adikku yang bongsu. Mungkin kerana penat menjaga adikku itu. Aku masih belum berpuas hati dengan jawapan ayahku lalu cuba bertanya lagi kemana Mak. Aku menjadi seperti seorang kanak-kanak yang sedang rindukan ibunya. Aku menjadi seperti seorang anak kecil yang dahaga belaian seorang ibu.

Ayah seperti tidak mahu melayanku membuat aku betambah hairan. Adakah mereka sudah melupakan aku?
Ayah juga seperti tidak mahu menjawab. Sikapnya berubah benar. Adakah dia tidak suka aku balik? Aku betul betul hairan. 

Secara tiba tiba aku terbayangkan sebuah pusara. Entah kenapa. Ayah cuba merahsiakannya. Aku cuba meramal. Mak telah pulang menemui Ilahi? Mak telah pergi selama lamanya? Mak telah pergi...

Aku tak mampu menahan sebak. Walaupun kuat, namun jasadku tak mampu menanggung kesedihan. Aku menangis dalam tidur. Dan tiba-tiba aku terjaga dari tidur. Yang aku sedar aku hanyalah bermimpi. Namun kesedihan tak mampu ku tahan. Sepertinya ia benar berlaku. 

Aku terus menangis walaupun dalam sedar. Aku biarkan air mata mengalir laju. Aku menangis. Terus menangis.Aku terus menangis di pagi subuh itu. Mimpi itu betul-betul ku rasai. Aku langsung tak menghiraukan roomate aku. Kehibaan yang kurasai melebihi rasa malu dalam diri. Aku terus menangis. Aku terbayangkan Mak di kampung sana.  Dan tiba tiba azan subuh pun berkumandang. 

Lalu di pagi itu juga, aku berazam untuk melakukan segala yang terbaik untuk Mak nanti. Aku mahu jaga Mak. Aku ingin jadi anak  Mak. Aku mahu berada di bawah ketiak Mak. Aku sayang Mak.

Ikhlas dari hati.

JIKA IBU KAMU MASIH ADA, SAYANGI DIA. JIKA TELAH MENINGGAL,INGATLAH KASIH DAN SAYANGNYA. BERDOALAH UNTUKNYA. SAYANGILAH IBU KERANA KITA SEMUA HANYA ADA SEORANG IBU KANDUNG.

2 comments: