Sunday 12 May 2013

Masalah itu sebenarnya….


Setiap manusia ada masalah. Kecil mahupun besar, tapi, bagaimana kita hadapi masalah itu?. Soalannya juga kenapa masalah itu selalu hadir dalam hidup kita? Kita rasa sesak dengan masalah. Kita rasa susah dan gelisah. Hidup kita jadi huru-hara dengan masalah. Mengapa masalah perlu ada? Masalah menguji kita agar bersabar. Masalah menyuruh kita cari penyelesaiannya. Masalah mengajar kita hidup yang sebenar. Paling penting masalah merapatkan kita dengan Allah. 



Setiap masalah perlulah diajukan semula kepada Allah kerana Allah jualah yang akan memudahkan kita menghadapinya dan Allah jualah yang akan menunjukkan kita jalan penyelesaiannya. Tanpa Allah, semua masalah akan jadi payah dan merumitkan. Kemungkinan juga masalah yang kita hadapi tiada jalan keluarnya. Seterusnya, masalah itu membebankan jiwa dan mengakhiri nyawa. 

Seorang hamba yang mengaku Allah sebagai tuhan sekalian alam akan menceritakan masalahnya hanya kepada Allah. Allah maha kuasa atas tiap sesuatu tidak kira yang kecil mahupun besar. Hatinya yakin Allah akan menolongnya dan mengeluarkan dirinya dari masalah yang sedang dihadapi. Secara automatik, mindanya terbuka cara menyelesaikan masalah itu dan tanpa dia sedar masalah itu telah diatasi dengan sendiri. 

Masalah perlu dihadapi dengan tenang dan jangan menyangka yang bukan-bukan. Setiap masalah pasti ada cara penyelesaiannya. Cuma kita belum nampak dengan jelas. Berdoalah kepada Allah agar menolong kita keluar dari masalah yang dihadapi. Yakin kepada Allah sahaja dan apabila jalan telah terbuka, berusahalah untuk menghilangkan masalah itu. 

Ingatlah masalah adalah rencah hidup. Ia ibarat garam dalam masakan yang menyedapkan hidangan. Tanpa masalah kita tak kan mengenal diri kita dengan lebih dalam, tanpa masalah kita tak tahu bahawa Allah menyayangi kita dan tanpa masalah kita tak mungkin dapat menikmati kebahagiaan menyerah diri kepada Allah. Masalah sebenarnya mematangkan kita menghadapi masa depan.