Saturday 17 March 2012

Budak Perempuan Itu?

Seorang budak perempuan aku lihat sedang menadah bakul. Dalam bakul itu ada beberapa helai duit kertas Rm1 dan syiling yang rasanya tidak sampai Rm10 pun. Aku cuba mengagak budak perempan itu mungkin berumur 12 tahun sedang menjadi pengemis di jalanan di kaki lima orang ramai di tengah Pasar Sabtu Tanjung Malim. Melihat itu secara tiba-tiba aku jatuh hati kepadanya.

Aku melihat dia dalam keadaan 'menyedihkan'. Bajunya agak buruk.Tudungnya agak lusuh. Mukanya keruh bukan kerana jahat tapi kerana beban. Kain yang dipakainya terselak sampai ke lutut menampakkan kakinya yang agak kemulusan. Atau ianya sengaja diselakkan untuk menarik perhatian orang ramai barangkali.Astarfirullah.Aku betul-betul tersentuh melihat keadaannya. Hatiku menjadi lebih lusuh daripada tudungnya.



Aku cuba memutuskan keputusan sama ada dia berada di sini mengemis kerana dirinya atau kerana orang lain yang menyuruhnya mengemis.Soalan-soalan subjektif dan esei ligat bermain di fikiranku. Lalu teringat berita-berita di TV mengenai sindiket-sindiket yang menggunakan kanak-kanak untuk dijadikan pengemis. Aku tidak tahu itu.

Selepas selesai membeli sedikit makanan berupa limau Rm5, aku terus ke tempat budak perempuan tadi. Aku tidak puas hati. Aku cuba mendekatinya ingin tahu apa yang ada di dalam hatinya. Aku duduk di hadapannya.


"Adik tinggal kat mana?" Aku bertanya kepada budak perempuan itu.

"Kat saa..na..sipa..dan". Budak perempuan itu menjawab dengan tergagap-gagap soalan cepumasku.




"Adik datang naik apa ke sini?"

"Teksi hantar."




"Adik datang dengan siapa?"

"eerr..sorang teksi hantar"



"Adik dah makan?"

"Dah"




"Oklah dik...abang pergi dulu yer."


Budak perempuan itu senyum setelah aku beri sedikit sumbangan peribadi ikhlas. Aku pergi meninggalkannya. Aku yakin dia tidak bercakap benar dari riak mukanya. Seperti sembunyi sesuatu. Rasa simpati benar-benar mencekik hati. Aku berhasrat ingin bertemu dengannya lagi. Aku ingin tahu apa yang ada di dalam hatinya.
Aku ingin tahu.

Friday 2 March 2012

Mana Mak..

Pada hari itu, aku pulang ke kampung halaman di Kampung Binjai Berambu, Kuala Terengganu. Setelah enam bulan berada di tempat orang menjadi pengemis ilmu, kali ini kepulanganku pasti dinanti oleh keluarga dan saudara-mara. Perjalanan yang jauh terasa lambat kerana hati melonjak riang dan tidak sabar ingin bertemu dengan Mak, Ayah dan adik-adik. Rindu menyelubungi segenap ruang dalam hati.

Sampai di rumah aku memberi salam. Ayahku berada tercegat di muka pintu menjawab kewajipan itu. Dia menghulurkan tangannya. Aku menciumnya lalu memeluk erat batang tubuhnya. Aku bertanya di mana Mak dan adik adik. Ayahku menunjukkan muka seperti tidak mahu menjawab. Aku masuk ke rumah dan memangggil Mak. 

Aku ke biliknya cuba melihat sama ada Mak ada di situ. Tiada. Kemudian ke dapur meneka Mak sedang 'menangis' kerana mengupas bawang. Namun tiada juga. Adik adikku sedang duduk di biliknya seperti tiada apa mahu bermain. Aku merapati mereka dan mencium. Aku bertanya di mana Mak. "Mak hilang", adiikku memberitahuku.

"Hilang!!!

Aku hairan. Aku tertanya-tanya kemana Mak hilang. Aku cuba mencari. Tiba-tiba bayangan Mak muncul satu persatu. Aku teringat hari-hari yang aku lalui bersamanya. Segala kenangan mula terpasang seperti sebuah filem. Aku masih ingat ketika aku bangkit dari tidur, Mak telah menyiapkan sarapan untukku. Aku hanya ke dapur dan makan. Kalau dia tidak sihat dia akan belikan nasi untukku. Biasanya nasi lemak. 


Waktu tengahari, aku selalu melihat Mak berehat  di ruang tamu dengan adikku yang bongsu. Mungkin kerana penat menjaga adikku itu. Aku masih belum berpuas hati dengan jawapan ayahku lalu cuba bertanya lagi kemana Mak. Aku menjadi seperti seorang kanak-kanak yang sedang rindukan ibunya. Aku menjadi seperti seorang anak kecil yang dahaga belaian seorang ibu.

Ayah seperti tidak mahu melayanku membuat aku betambah hairan. Adakah mereka sudah melupakan aku?
Ayah juga seperti tidak mahu menjawab. Sikapnya berubah benar. Adakah dia tidak suka aku balik? Aku betul betul hairan. 

Secara tiba tiba aku terbayangkan sebuah pusara. Entah kenapa. Ayah cuba merahsiakannya. Aku cuba meramal. Mak telah pulang menemui Ilahi? Mak telah pergi selama lamanya? Mak telah pergi...

Aku tak mampu menahan sebak. Walaupun kuat, namun jasadku tak mampu menanggung kesedihan. Aku menangis dalam tidur. Dan tiba-tiba aku terjaga dari tidur. Yang aku sedar aku hanyalah bermimpi. Namun kesedihan tak mampu ku tahan. Sepertinya ia benar berlaku. 

Aku terus menangis walaupun dalam sedar. Aku biarkan air mata mengalir laju. Aku menangis. Terus menangis.Aku terus menangis di pagi subuh itu. Mimpi itu betul-betul ku rasai. Aku langsung tak menghiraukan roomate aku. Kehibaan yang kurasai melebihi rasa malu dalam diri. Aku terus menangis. Aku terbayangkan Mak di kampung sana.  Dan tiba tiba azan subuh pun berkumandang. 

Lalu di pagi itu juga, aku berazam untuk melakukan segala yang terbaik untuk Mak nanti. Aku mahu jaga Mak. Aku ingin jadi anak  Mak. Aku mahu berada di bawah ketiak Mak. Aku sayang Mak.

Ikhlas dari hati.

JIKA IBU KAMU MASIH ADA, SAYANGI DIA. JIKA TELAH MENINGGAL,INGATLAH KASIH DAN SAYANGNYA. BERDOALAH UNTUKNYA. SAYANGILAH IBU KERANA KITA SEMUA HANYA ADA SEORANG IBU KANDUNG.

Zaman Kanak-Kanak

Zaman kanak-kanak adalah zaman paling best dalam hidup. Siapa yang tak suka zaman kanak-kanak. Zaman yang paling banyak mengajar kita kemahiran hidup. Waktu itulah kita belajar makan sendiri, basuh berak sendiri, belajar berkawan, bermain dengan kawan-kawan dan banyak lagi. 


Tiba-tiba aku teringat zaman kanak-kanak dulu selepas mandi hujan tadi. Zaman kanak-kanak kalian bagaimana?. ce cite ce cite..

Aku masih ingat ketika mula-mula belajar naik basikal. Zaman kanak-kanak itu kita belajar apa itu gigih. Ketika punggung di atas saddle basikal dan kaki di atas pedal ketika mula mengayuh. Dan ketika itu beberapa kali jatuh namun masih gigih mencuba sampailah pandai. Aku masih ingat ketika berlumba basikal dengan sepupu dan mendapat naib johan serta mendapat hadiah sebuah leteran dan bebelan daripada mymom.

Zaman kanak-kanak juga bermain masak masak. Yang paling seronok tu masa buat kuih menggunakan selut dan bahan-bahan yang agak 'special'. Buat nasik lemak dengan pasir bapak saudara, bermain'te nnusuk', 'te duduk', dan te kejor'.

Tiada satu pun yang bikin heavy kat kepala bila jadi kanak-kanak. Semua perkara yang gembira. Seperti kata seorang sahabatku "semuanya cun saja". Tiada fikir tentang pinjaman bank, tiada assignment, tiada fikir mengenai menukar minyak hitam, tiada fikir mengenai kekasih dan banyak lagi.

Berfikir seperti kanak-kanak dan bertindak seperti orang dewasa.